Popis: |
Temu ramah ini dilakukan dengan seorang tokoh kebajikan cakna NGI, Puan Zarina Mohd Nawawi yang telah menyumbangkan banyak masa dan tenaga di dalam penubuhan Dapur Ramadan bagi membantu masyarakat yang memerlukan. Wawancara ini hanya dilakukan melalui panggilan telefon disebabkan oleh penularan wabak yang berlaku di Malaysia yang memerlukan kita untuk menjaga penjarakan sosial. Puan Zarina Mohd Nawawi yang berasal dari Bukit Gading, Tanah Merah Kelantan merupakan seorang aktivis yang sangat aktif menggerakkan beberapa inisiatif kebajikan melalui Dapur Ramadhan beliau. Antaranya ialah pembuatan produk ketupat palas sejuk beku yang dihasilkan oleh sepuluh (10) orang pekerja yang dipilih dari kalangan asnaf. Selain itu, beliau juga telah munubuhkan Dapur Ramadhan Mart iaitu kedai runcit yang juga merupakan transit simpanan barang-barang keperluan yang seperti makanan, keperluan dapur, serta keperluan asas lain yang disumbangkan oleh individu dan NGO. Usaha ini membolehkan asnaf fakir dan miskin dibantu secara tidak langsung. Hasil penjualan ketupat dan sumbangan dari rakan Facebook akan digunakan untuk membayar upah pekerja dan menyediakan 350 bungkus nasi untuk diedarkan kepada anak-anak asnaf di lapan buah sekolah di bawah program "Jamu Makan Pelajar Asnaf". Puan Zarina telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kebajikan Cakna (Kategori NGI Cakna) sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020. Beliau juga merupakan ibu tunggal yang tabah membesarkan dua (2) orang anak lelaki. Pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapi oleh Puan Zarina namun beliau terus bersemangat untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan semoga ini dapat menjadi inspirasi kepada semua orang. |