Popis: |
Pembelajaran aktif adalah pendekatan pengajaran yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi ia kerana dapat meningkatkan kefahaman pelajar. Namun aplikasinya masih kurang di Malaysia. Pendekatan pengajaran yang masih bersifat tradisional, guru kurang berpengalaman menyebabkan pembelajaran aktif kurang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Kajian literatur menunjukkan bahawa: pertama; model pengajaran solat Rasulullah SAW dapat membina kemahiran pembelajaran aktif pelajar, kedua; penglibatan pelajar secara aktif di dalam bilik darjah dapat meningkatkan fokus dan kemahiran sosial. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan tahap akademik pelajar. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan analisis dokumen sebagai reka bentuk kajian. Artikel ini membincangkan implikasi pengajaran solat dalam membina kemahiran pembelajaran aktif pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah pengajaran yang menarik, kewibawaan guru dan psikologi pelajar amat penting dalam membina kemahiran pembelajaran aktif di dalam bilik darjah. Pembelajaran aktif ini menyumbang kepada pembangunan peradaban Islam dengan melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang, kreatif, kritis dan inovatif. |