Popis: |
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan kepimpinan teragih dalam kalangan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Semenanjung Malaysia. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan kepimpinan teragih berdasarkan dimensi Visi, Misi dan Matlamat, Budaya Sekolah, Perkongsian Tanggungjawab dan Amalan Kepimpinan serta perbezaannya antara dua jenis aliran sekolah tersebut. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kuantitatif yang menggunakan pendekatan tinjauan. Sebanyak 384 orang guru dari SK dan 379 orang guru dari SJKC telah dipilih secara rawak sebagai responden dalam kajian ini. Kajian ini dianalisis secara deskriptif dan inferensi dengan menggunakan skor min, sisihan piawai dan ujian-t. Dapatan kajian menunjukkan tahap amalan kepimpinan teragih secara keseluruhannya di SK (M=4.03; SP=.40) dan SJKC (M=3.99; SP=.45) berada pada tahap yang Tinggi. Selain itu, dapatan kajian ini juga menunjukkan dimensi Visi, Misi dan Matlamat, Budaya Sekolah, Perkongsian Tanggungjawab dan Amalan Kepimpinan berada pada tahap yang Tinggi dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap amalan kepimpinan teragih (t=.990, df=761, p> .05) antara dua jenis aliran sekolah tersebut. Kajian ini dapat menyumbang kefahaman kepada para guru besar tentang kepentingan amalan kepimpinan teragih di sekolah. Selain itu, kajian ini telah menambah maklumat mengenai kepimpinan teragih dan penambahan maklumat ini dapat membantu pengkaji lain dalam kajian lanjutan tentang kepimpinan teragih dalam proses mencapai tujuan reformasi pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). |